Kecoh di media sosial tanpa mengetaui hal sebenar. Mohd Faisol dedah hal sebenar apa yg berlaku

Kecoh di media sosial tanpa mengetaui hal sebenar. Mohd Faisol dedah hal sebenar apa yg berlaku

“SAYA bukan gelandangan dan merempat, cuma sakit,” demikian kata Mohd Faisol Ismail, 40, mengenai kisah dan gambar keluarganya tular di media sosial mengenai dirinya yang juga orang kurang Upaya (OKU) merempat di sekitar Butterworth bersama isteri dan empat anak kerana tiada tempat tinggal.

Mohd Fisol berkata, orang ramai mungkin salah faham dengan kisah yang ditularkan itu kerana dia sebenarnya mempunyai rumah dan bukan gelandangan.

Menceritakan kembali bagaimana kisahnya ditularkan, Mohd Faisol berkata, kira-kira jam 11 pagi semalam, dia bersama isteri dan empat orang anaknya berada di Penang Sentral untuk pulang ke kampung mentua di Beruas, Perak dan ketika itu masih kekurangan wang untuk membeli tiket bas.

“Saya duduk di kawasan berdekatan untuk memohon bantuan wang bagi membeli tiket bas buat kami sekeluarga yang berharga lebih daripada RM100.

“Tidak lama selepas itu saya ditegur seorang lelaki yang bertanyakan masalah yang dihadapi termasuk meminta dokumen peribadi untuk pengesahan,” katanya.

Menurutnya, selepas menjelaskan masalah wang tiket yang tidak cukup, lelaki berkenaan kemudian memberi sedikit wang sebelum mengambil gambar dokumen dan kad pengesahan orang kurang upaya (OKU) miliknya.

“Tidak lama selepas itu, ada seorang lagi lelaki datang dan memberi wang kepada saya untuk membeli tiket bas, tanpa mengetahui bahawa ada mesej tular mengatakan saya gelandangan tersebar sejak semalam.

“Namun, ia bukan cerita sebenar kerana saya bukan gelandangan dan ketika itu, hanya mahu pulang ke rumah mentua bagi mendapatkan rawatan untuk penyakit saya.” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Faisol berkata, sejak beberapa bulan lalu, dia sudah tidak bekerja kerana mempunyai masalah kesihatan di pinggang, selain tangan kanannya yang sukar digerakkan seperti memakai tangan palsu.

Katanya, dia cacat kerana terbabit dalam kemalangan pada 2003 sehingga menyebabkan tangan kanannya pendek akibat tulang yang rosak dan perlu dibuang dan tidak dapat digerakkan.

“Sejak itu, saya susah untuk bekerja selain terpaksa menahan sakit sehingga beberapa kali mengambil cuti sakit (MC) sehingga tidak lagi bekerja di situ.

“Walaupun tidak dapat membuat kerja berat, saya tetap bekerja bagi menyara kehidupan keluarga dengan menjadi tukang cuci pinggan dengan pendapatan tidak seberapa,” katanya.

Menurutnya, sejak beberapa bulan lalu, pinggangnya pula mengalami masalah ekoran kesan kemalangan pada 2003 itu.

“Saya mula rasa kesan kemalangan di pinggang menyebabkan saya tidak dapat berdiri lama dan membuat kerja berat.

“Namun, saya tetap bekerja dengan memandu van barang sebelum dinasihatkan berehat kerana dilihat sudah tidak mampu bekerja,” katanya.

Mohd Faisol berkata, sejak beberapa bulan lalu, dia sudah tidak bekerja sehingga gagal membayar bil elektrik dan air rumah sewa mereka di Pangsapuri Ampang Jajar, Permatang Pauh sehingga bekalan elektrik di kediaman itu dipotong.

Katanya, menyedari masalah itu, dia dan isterinya Norhaipizah Mat Nayan, 35, mengambil keputusan untuk pulang ke kampung mentua bagi mendapatkan rawatan tradisional.

“Isteri saya juga ada membuat kerja sampingan bagi membantu keluarga, namun ia tidak mencukupi dan kami membuat keputusan untuk pulang ke kampung buat sementara waktu bagi merawat penyakit saya sebelum kembali bekerja semula di Pulau Pinang.

“Saya mempunyai empat anak masing-masing tiga perempuan dan seorang lelaki.

“Semua mereka kini tidak dapat bersekolah kerana masalah yang dihadapi keluarga selain saya tidak mempunyai wang,” katanya.

Menurutnya, pertemuannya dengan lelaki yang menularkan kisahnya itu sedikit sebanyak membuka jalan untuknya menceritakan masalah yang dihadapi dan memohon pihak berkenaan untuk membantu meringankan beban.

Kredit harian metro.