“Dia beritahu muka kami bukan seperti pelancong, malah menuduh kami ke Australia untuk mengutip buah dan bukannya utk melancong.

“Dia beritahu muka kami bukan seperti pelancong, malah menuduh kami ke Australia untuk mengutip buah dan bukannya utk melancong.

“ADA pegawai bertugas datang dan memberitahu kami dianggap masuk ke Australia untuk memetik buah,” kata Nur Syazrin, 24, mengulas kejadian dia dan lima rakannya dihalang memasuki Australia, baru-baru ini.

Mereka sepatutnya bercuti di Perth, Australia selama lima hari, namun dihalang selepas pemeriksaan keselamatan Australia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), Sepang mendakwa mereka sebaliknya.

Menceritakan kejadian itu, Nur Syazrin berkata, penerbangan ke Perth sepatutnya berlepas pada awal pagi 2 Ogos lalu.

“Selepas pemeriksaan Imigresen Malaysia, ada satu lagi pemeriksaan untuk ke Australia dan New Zealand oleh Pegawai Perantara Penerbangan (ALO) yang melalui pagar P6 dan kami segera ke sana.

“Dia beritahu muka kami bukan seperti pelancong, malah menuduh kami ke Australia untuk mengutip buah dan bukannya utk melancong.

“Tetapi apabila tiba giliran kami, pegawai yang bertugas meletakkan tanda ‘X’ di nombor ‘sequence’ dan menyuruh kami ke bahagian keselamatan. Ketika itu, saya dan seorang rakan masuk dahulu, manakala yang lain masih di belakang.

“Tiba-tiba saya ditahan manakala, rakan dilepaskan. Empat lagi rakan turut menerima nasib sama dan akhirnya kami semua ditahan.

“Seorang pegawai wanita lingkungan usia 50-an mengambil pasport kami, tapi ketika itu saya tidak fikir apa-apa, melainkan pemeriksaan rutin biasa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya lagi, pegawai terbabit bertanyakan jumlah wang dibawa dan mereka memberitahunya sekitar AUD$350 (RM998) seorang.

“Dengan selamba, pegawai itu menjawab: ‘Tidak cukup, kos hidup di sana lebih mahal dari Malaysia.’

“Kami ada beritahu mempunyai kad kredit jika ada sesuatu dan dia menjawab: ‘Hanya untuk awak, tapi rakan awak?’” katanya.

Nur Syazrin berkata, dia ada menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia, Andrew Goledzinowski menerusi Twitter bertanyakan larangan itu namun, tiada jawapan khusus.

“Beliau hanya kata sukar mengulas lanjut memandangkan 400,000 rakyat Malaysia memasuki negaranya tanpa sebarang masalah,” katanya.

Turut menerima nasib sama, Nurul Syahirah, 23, apabila dia dihalang memasuki Australia baru-baru ini tanpa sebarang sebab.

“Kami terpaksa membatalkan semua tempahan termasuk penginapan. Sepatutnya kami tiba di Perth pada 3 Ogos lalu tapi malangnya, Pegawai Perantara Penerbangan (ALO) dari Australia tidak membenarkan kami berlepas.

“Pintu pelepasan sudah tutup dan pesawat mula beredar untuk berlepas. Kami hanya mampu memerhati dari dalam. Kami tertanya-tanya apa salah kami, macam-macam fikir ketika itu,” katanya.

Rakannya pula, Fatin Athirah Osman, 23, berkata, disebabkan insiden itu, dia kerugian ribuan ringgit kerana sudah tempahan yang dibuat termasuk tiket penerbangan.

“Tidak pernah terfikir perkara ini berlaku sedangkan saya mahu bercuti selama lima hari. Kesudahannya kami terpaksa bertukar angin bercuti ke Thailand,” katanya.

Dalam pada itu, pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia dalam satu kenyataan pula berkata, semua pelancong ke Australia perlu memastikan mereka memegang visa yang betul dan mematuhi syarat ditetapkan.

Katanya, visa yang berlainan diperlukan, bergantung kepada tujuan perjalanan dan tempoh lawatan.

“Ada visa yang mungkin mempunyai syarat berbeza. Pemegang visa boleh dinafikan perjalanan atau dilarang masuk jika dipercayai bahawa mereka tidak melakukan perjalanan untuk tujuan dibenarkan berdasarkan visa yang dimilikinya.

“Bagi membolehkan seseorang itu dianggap pelancong, mereka mesti mempunyai atau akses kewangan mencukupi sepanjang berada di sana (Australia).

“Keperluan ini terguna pakai ke atas pelancong dari semua negara. Pasukan Sempadan Australia (ABF) memiliki rangkaian dengan ALO yang ditempatkan di lapangan terbang seluruh dunia,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, ALO dilatih untuk mengenal pasti individu yang cuba memasuki Australia menggunakan identiti dan dokumen perjalanan atau tidak memiliki visa yang sah.

Sumber: harian metro.