Seminggu lepas dimarahi doktor pakar dihadapan pesakit , doktor pelatih 25 tahun akhirnya gntung diri

Seminggu lepas dimarahi doktor pakar dihadapan pesakit , doktor pelatih 25 tahun akhirnya gntung diri

Foto sekadar hiasan..

“Stupid! Monkey! Useless Houseman!” bentak Dato Nik terhadap kawan aku, Dr Naim. Tengkingan dan jelingan mata Dato menusuk dirinya.

“You, all Russian graduates are stupid! Useless”, sambung Dato’. Suaranya kuat ibarat petir. Dr Naim diam. Membisu. Semuanya yang berada di situ terdiam, pucat dan takut tanpa berkata kata. Dr Naim menguatkan diri menyambung presentationnya terhadap pesakit itu.

Tanpa Dr Naim sedari, “Bukk!!”, kepalanya dihentak fail pesakit. Makian demi makian dilontarkan. Itulah hari pertama Dr Naim di wad tersebut. Kami sesama houseman dah boleh jangka, memang Dato begitu orangnya. Apabila moodnya tidak baik, habis semua kena, baik HO, MO, jururawat, sister dan pelajar jururawat.

Aku juga pernah merasa diketuk dengan botol normal saline yang kosong. Tidaklah sakit, namun perbuatannya di hadapan pesakit menjatuhkan maruah aku. Dan hari tersebut, maruah Dr Naim.

Aku posting di wad lain sebelum itu bersama Dr Naim. Dia bergraduasi daripada Russia. Apabila seseorang itu graduate daripada oversea, begitulah tanggapan doktor atasan. Its up to them, Russian graduates to prove them wrong. Stigma dan persepsi terhadap mereka Ibarat peraturan tidak bertulis. Semua orang tahu dan semua orang faham.

Aku mengenali Naim agak lama, dia berasal daripada Johor, nun jauh di selatan. Hospital kami ni pula, jauh ke utara. Berjauhan daripada keluarganya. Naim berpewatakan sebagai seorang yang ceria, banyak cakap dan loyar buruknya boleh tahan juga.

Di wad sebelum ni, ada pesakit bernama Pn Sabariah memarahi beliau kerana lambat menyiapkan discharge, namun Dr Naim jawab bersahaja

“Ala makcik, nama makcik kan Sabariah dah, so, sabar sikit ya makcik”

Pesakit tersebut tak jadi nak marah. Jadi nak ketawa pula melihat gelagat Dr Naim. Dr Naim mempunyai seorang tunang. Tunangnya bekerja di Selangor. Memang banyak perkara yang aku tahu tentang Dr Naim, dan banyak juga perkara yang Dr Naim tahu tentang diri aku.

Selesai round dengan Dato’ Nik, aku terus menyiapkan kerja-kerja dan plan yang diberikan untuk pesakit aku. Aku lihat Dr Naim di kaunter, duduk diam. Tidak banyak bercakap selepas kena pagi tadi.

Aku nak bersembang, namun aku sendiri pun terikat dengan kerja-kerja dan plan pesakit aku. Aku sedikit hairan melihat Dr Naim. He took it pretty hard, almaklumlah kesalahan yang tak signifikan pada nya. Yang tidak memberi impak terhadap pesakit. Memang pun pada aku. Kami bukan bodoh, kami tahu benda yang memberi impak dan tidak memberi impak terhadap pesakit. Agak keterlaluan nak buat demikian hanya kerana presentation nya salah sikit-sikit daripada segi grammar.

Aku tak risau sebab bukan kali pertama kami dimarahi sedemikian. Di wad sebelum ini, kami pernah dimaki, dicaci, diherdik, dihina, cuma dalam bilik yang tertutup atau di pejabat pakar. Tidak sekali-kali di hadapan pesakit. Aku akui, aku dan Dr Naim doktor baru, dalam fasa pembelajaran lagi.

Dimarahi itu perkara biasa. Memang pada aku tidak patut seseorang staf itu dimarahi dan diherdik terang-terangan di hadapan pesakit. Pesakit memerlukan kepercayaan daripada doktor yang merawat mereka.

Apabila kena stupid, idiot monkey dan segala haiwan-haiwan lain, kredibiliti seseorang itu akan jatuh. Pesakit mula mencurigai tindak tanduk doktor yang dianggap “bodoh” itu. Namun, apa boleh buat, kami ikan bilis, mana nak boleh lawan ikan jerung.

“Naim, weh, jom makan”, aku menyapa Naim daripada belakang.

“Takpelah weh, ko gi lah makan dulu, aku tak lapar” katanya.

Aku sedikit hairan. Itulah kali pertama dia menolak ajakan aku untuk makan bersama. Sebelum ini, meskipun dia ada kerja, dia akan suruh aku tunggu selepas selesai segala kerjanya, baru kami turun ke kafe hospital.

Namun yalah, aku memahami, siapa tak hilang selera, hilang mood apabila diperlakukan sedemikian. Memang aku perasan Dr Naim tak banyak bercakap hari itu. Raut wajahnya kosong. Langsung aku tak boleh membaca sama ada dia bersedih, marah ataupun gembira.

Jam 5.30 petang, aku baru sahaja menghantar darah pesakit ke makmal. Setibanya aku di wad, aku dapati Dr Naim tiada. Aku segera bertanya kepada jururawat, dan mereka mengatakan bahawa Dr Naim dah balik.

Aku hairan. Kami begitu rapat sepanjang 4 bulan yang lepas. Tak pernah dia balik tanpa memberitahu aku. Tapi aku tak hairan dan risau lebih-lebih. Mungkin dia tengah down agaknya.

Dr Naim tinggal di kuarters houseman, yang walking-distance sahaja daripada hospital. Aku pula menyewa nun jauh ke barat, lebih kurang 20 minit perjalanan memandu kereta.

Keesokannya, Dr Naim mengambil emergency leave (EL). Aku pelik dan beribu persoalan datang menerjah fikiranku. Aku nak call, namun akibat dia EL, kurang seorang houseman di ward. Jadi bebanan kerja di wad bertambah. Memang aku tak sempat nak berfikir pun pada hari itu.

Hari kedua, dia masih EL. Kali ini dah dikira missing in action (MIA), sebabnya, dia tidak memberitahu sesiapa pun yang dia gagal menghadirkan diri ke tempat kerja. Aku sedikit risau. Aku cuba menghubunginya, tak dapat. Masuk voice mailbox sahaja.

Aku hantar teks supaya dia menelefon aku semula. Tiada respon. Aku bukan abaikan Dr Naim, tetapi aku sendiri pun terlalu sibuk ketika itu. 36 jam waktu oncall, aku duduk di dalam Operation Theatre yang meletihkan otak dan fizikal.

Aku tiba di rumah lewat tengahari itu. Esoknya cuti, jadi bolehlah kiranya aku nak buat apa-apa. Namun, apa-apa hal, aku perlu tidur terlebih dahulu…

Aku tidur lena. Langsung aku tak sedar hari sudah hampir Maghrib. Keadaan rumah jadi suram dalam waktu senja, maklumlah aku tak bukak lampu. Aku membasuh muka, solat Asar. Aku teringat akan Dr Naim. Aku doakan dia agar dia tabah dan sabar menghadapi rintangan.

Aku segera ke kuarters houseman keesokan harinya, kerana rakan-rakan di ward memberitahu Dr Naim masih lagi MIA. Aku tiba di hadapan biliknya, berkali-kali aku ketuk, tiada respon. Aku call, memang aku dengar bunyi ringtone di biliknya, namun tidak berjawab.

“Naim, weh, aku ni, aku tunggu kat sini sampai kau unlock pintu ni. Selagi kau tak unlock, selagi tu lah aku akan tunggu kat sini”, kataku dengan sedikit ugutan.

Klik, bunyi tombol pintu dibuka daripada dalam. Aku masuk. Aku terkejut, Ya Allah!….

…apa dah jadi kat kau Naim? Dia kelihatan cengkung. Wajahnya begitu sugul sekali.

Aku lihat biliknya bersepah. Terdapat beberapa botol air mineral yang berisi dengan air bewarna kuning, aku fikir, dia tidak langsung keluar daripada biliknya walaupun ke tandas. Pasti itu urine nya yang memenuhi setiap botol di biliknya. Badannya berbau masam, rambutnya kusut-masai.

Bau pakaian lembab memenuhi biliknya memang menusuk. Namun apa nak hairan bau-bau sebegitu, dah lali dengan bau nanah, najis dan darah pesakit.

Aku terus bertanya sama ada dia okay atau tidak. Dia dah makan? Atau dah solat? Dah ambil wudhu’? Itulah soalan-soalan yang sering dia tanya taktala aku stress dahulu.

Dia mendiamkan diri. Tak menjawab. Matanya merenung tajam mukaku. Aku tahu, dia depress. Dalam keadaan macam ni, bukan setakat depress yang normal, tetapi depress yang berpenyakit.

Walaupun mengikut kriteria untuk mendiagnose Major Depressive Disorder (MDD) memerlukan pesakit berasa sedih selama 2 minggu, namun aku kira ianya tak relevan untuk Dr Naim. Jelas dia berpenyakit, jelas dia menunjukkan tanda-tanda MDD. Jelas ianya adalah “disorder”. Tak perlu tunggu masa pun.

Aku kira, dia tidak lagi berfungsi sebagai seorang manusia yang normal. Aku kira, dengan badannya yang susut begitu drastik, dia tak makan. Mungkin dia minum sedikit sahaja. “Self-hygiene” pun tak terurus. Aku pasti, dia sudah kena MDD.

Aku menarik tangannya. “Jom keluar, aku belanja”. Intonasi aku bukan bertanya tetapi lebih kepada menyuruh. Menyuruh dia mandi, bersiap dan keluar. Dr Naim tidak berganjak, namun setelah aku ugut, aku pujuk, dia pasrah. Dia mengambil tuala dan masuk ke dalam bilik air.

Sementara dia mandi aku kemas biliknya. Memang teruk, dah macam kawasan setinggan. Buku bersepah. Botol-botol berisi urin. Aku buang semuanya. Aku mesej rakan-rakan lain yang cuti pada hari itu. Ada yang nak keluar sekali, dan ada yang taknak.

Aku bawa turun sampah ke bawah, Dr Naim menuruti diriku daripada belakang. Aku masuk dalam keretaku, dia terus duduk disebelah ku. Sepatah pun dia tak cakap. Diam seribu bahasa. Keadaan agak awkward, mana taknya, bila aku bercakap pun, ibarat macam aku bercakap dengan dinding.

Aku mengambil Dr Hanim dan Dr Farah sekali, rakan-rakan houseman daripada posting jabatan lain yang off day. Aku dah pun bercerita serba sedikit kepada mereka melalui whatsapp mengenai Dr Naim, supaya mereka tak kekok.

Aku takut mereka ingat Dr Naim adalah Dr Naim yang mereka kenal. Yang banyak cakap. Yang asyik loyar buruk. Walhal dia langsung dah tak sama macam sebelum ini. Aku takut gurauan-gurauan liar rakan-rakanku menerukkan lagi keadaan mentalnya yang sememangnya sudah koyak.

Aku memandu perlahan ke Aman Sentral. Sesekali, Dr Hanim dan Dr Farah bersembang, aku turut menyampuk, dan cuba membuat lawak hambar bagi menceriakan keadaan. Namun, segala soalan, segala lawak bodoh yang aku buat, Dr Naim hanya mengangguk sahaja. Tidak bercakap. Tidak senyum. Tidak ada apa-apa. Kosong.

Aku membuat keputusan untuk makan di restoran Nando’s sahaja. Maklumlah, aku dah lali dengan perangai kawan-kawan aku ni, kalau ditanya nak makan di mana, aku pasti mereka akan cakap “Ikutlah mana-mana pun”…

Setelah duduk di meja dan memesan makanan, aku lihat Naim mengeluarkan telefonnya. Dia menekan-nekan skrin telefon tersebut. Aku cuba berkali-kali untuk memecahkan suasana yang agak lain macam, tak berjaya. Atmosfera di situ jadi sedikit tegang juga. Masing-masing berpandangan antara satu sama lain.

Saat makanan tiba, Dr Naim terus makan. Satu dua suap sahaja, kemudian dia bangun. Kami bertiga terkejut. Dia terus berpaling belakang, dan terus jalan keluar daripada restoran tersebut. Aku bingung. Apa yang dia nak buat ni? Dia nak pergi mana pula.

Aku mengejar dia daripada belakang. Dr Hanim dan Dr Farah aku suruh mereka tunggu di restoran, takut-takut staf restoran menyangka kami makan tak mahu bayar pula. Dr Naim terus berjalan menerusi pintu utama Aman Sentral.

Aku mengejar, memanggilnya berkali-kali, tidak ada respon. Dia menonong sahaja tanpa menoleh. Panas juga hati aku sewaktu itu. Aku sudah mula hilang sabar. Terasa apa yang aku buat tidak dihargai langsung. Pentingkan diri sendiri. Selfish, dan narcissist. Hanya memikirkan diri dia sahaja yang stress.

Aku menarik bahu Naim yang tiba-tiba berhenti berjalan.

“Apa kena kau ni, janganlah macam ni wei…”

“Jangan kau berani pegang aku lagi, faham!” tiba-tiba dia menengking aku. Aku terkejut. Orang ramai di situ memandang juga. Aku sedikit malu, macam aku pula yang mencari gaduh.

“Please lah wei, ko bukan macam ni Naim, apesal kau buat aku macam ni? Tolonglah bagi aku peluang nak tolong kau”, aku merayu, walaupun hati aku panas. Aku merayu, agar dia berikan sedikit simpati, sedikit peluang untuk aku.

Saat itu, dia menolak aku menggunakan kedua-dua tangannya dengan kasar sehingga aku terjelepuk di atas lantai. Aku menggeletar kegeraman. Apa kena dengan dia ni? Saat aku nak bangun, ada sebuah kereta MyVi berhenti.

Dr Naim terus membuka pintu kereta tersebut dan duduk di belakang. Kereta itu kemudian meluncur laju. Terpinga-pinga aku di situ. Aku kira, dia tempah GrabCar masa di restoran tadi. Dia memang taknak keluar, dan hanya keluar akibat terpaksa. Bila dia dah semakin stress, dia terus blah macam tu sahaja

Aku berjalan kembali ke restoran. Geram. Kesal. Hairan. Bagaimana dia boleh buat aku seperti itu. Aku akui aku sedikit narcissist juga. Saat aku duduk sahaja, terus Dr Hanim bertanya kepada aku “Apa jadi weh?”

“Dia kata dia ada kerja, dan dia penat, so dia balik dulu”, jawabku.

Aku menipu, Aku menipu demi mempertahankan Dr Naim. Aku tak mahu mereka fikir bukan-bukan. Kami sambung makan. Makanan Dr Naim, aku bungkus sahaja bawa balik.

Pulang sahaja di rumah, aku masih lagi panas hati.

Terfikir beberapa kali, mengapa aku tak tumbuk sahaja muka dia sewaktu dia menolak aku tadi. Aku marah, geram. Begitulah aku, biasanya sesudah tamat konfrontasi, barulah aku terfikir cara untuk membalas. Kenapa aku sibuk menyelamatkan anjing tersepit, yang bila bebas menggigit semula orang yang melepaskannya.

Perbuatan dia menolak aku itu. Saat itu, walaupun aku tahu dia dah kena MDD, tapi aku masih tak puas hati dengan tindak tanduknya tadi. Tak patut. Memang tak patut.

Dalam hati aku, “Lantak dia lah, peduli apa aku, aku nak tolong, dia buat macam tu”. Aku segera mandi, dan tidur memandangkan esok aku kerja semula. Aku malas nak fikir dah. Apa nak jadi pun jadilah. Aku macam dah putus asa.

Seusai kerja aku di wad pada hari seterusnya, aku menelefon bahagian psikiatri. Lembut sahaja suara jururawat yang menyahut panggilan. Aku menceritakan mengenai pesakit secara anonymous. Aku tak pasti apa prosedurnya untuk menghantar Naim mendapatkan rawatan. Jururawat tersebut menyuruh aku membawa pesakit ke klinik psikiatri secepat mungkin.

Aku terfikir, mana mungkin aku seorang sahaja mampu nak tarik dia ke sana. Belum sempat aku nak memikirkan next step, MO aku datang di wad untuk round petang. Aku pula PM shift hari tu. Malam baru boleh balik. So, hal Dr Naim aku letak tepi terlebih dahulu. Aku perlu fokus akan kerja aku. Aku tak mahu pesakit menanggung apa-apa kesilapan kesan daripada aku tak menumpu sepenuhnya pada pekerjaan.

Memang terlalu sibuk saat itu. Admission bertali arus. Preoperative plan, dengan blood culturenya, chest tubenya dan macam-macam. Memang gelaran raja Jonah, dan bersama MO yang juga jonah malam itu memeriahkan suasana di wad. Memang double J sungguh.

Aku balik jam 11.00 malam. Terlalu letih. Tak sempat aku nak buka white coat, aku terus tertidur.

Aku terjaga saat terdengar bunyi alarm yang memekikkan telinga aku. Terus aku bangun, menyelesaikan rutin pagi, dan ke tempat kerja. Dalam perjalanan, aku teringat akan Dr Naim.

Hari itu hari minggu. Agak free. Tak banyak sangat plan. Jadi aku pun menyiapkan kerja secara santai sahaja. Tiada plan yang urgent. Lagipun kalau ada sekalipun, akan dianjakkan ke hari Ahad.

Bzzzt! Telefon aku bergetar, menandakan ada mesej masuk. Aku tak terus lihat, sebab semasa itu aku sedang mengambil darah pesakit. Aku melihat skrin telefon 10 minit selepas itu.

“1 new message from Dr Naim HO’, aku agak terkejut, mungkinkah Dr Naim dah okay, dah sihat, dan dah bersedia untuk bercakap dengan aku semula, menceritakan perihal yang berlaku 4-5 hari ini. Aku berdebar, aku terus buka.

“Aku minta maaf atas kejadian hari tu dan hari-hari sebelumnya. Terima kasih juga atas segalanya sebab sudi menjadi sahabat aku” dan mesej berakhir dengan emoji tersenyum gembira.

Aku mula rasa sangsi. Waswas. Mengapa pula ni. Aku segera call, tak berjawab. Aku membalas teks, menyuruh dia menelefon aku saat dia free. Diam sahaja. Statusnya di whatsapp juga tidak berubah daripada online kepada typing atau apa-apa. Aku menunggu, jadi tak keruan. Setiap 5 minit aku check, adakah dia sudah membalas mesej.

Aku ke bilik prosedur di wad, mengambil beberapa glove dan mask. Aku nak assist kawan aku tukar tiub trachy pesakit. Tiba-tiba hati aku rasa sangat tak sedap. Berderau darahku. Tiba-tiba aku rasa macam cuak dan takut. Seolah-olah ada sesuatu yang tak kena. Tiba-tiba

“Krriiiiiing”, telefon aku berbunyi. Aku lihat skrin. Nombor yang tak dikenali. Aku jawab sahaja, kerana aku fikirkan, biasa nombor-nombor tersebut mungkin daripada bank, atau medical officer aku.

“Hello”

“Hello, ni Dr kan? Saya Anita, tunang Dr Naim. Dr ada jumpa dia tak harini?”

“Tak, dah seminggu dia tak datang kerja, 2 hari lepas saya ada keluar tapi mood dia macam tak berapa baik”

“Doktor, boleh tak doktor ke kuarters dia, saya rasa tak sedap hatilah. Ayah dan ibu dia call berkali-kali, tak berjawab”

“Boleh-boleh, sebentar ya”.

Aku rasakan perkara ini agak urgent. Lain macam sahaja perasaan hatiku ini. Risau, berbaur cuak juga. Apa yang berlaku ni.

Aku meminta kebenaran rakan-rakanku di wad untuk ke kuarters sebentar. Kerja pun tak banyak hari itu. Mereka ingin nak tanya banyak, tapi terus aku potong kata-kata mereka. Aku tahu, mereka banyak persoalan, namun aku pun tak tahu apa yang berlaku. Aku hanya berkata, aku nak jumpa Dr Naim.

Beberapa staf yang terdengar kata-kata aku berpandangan satu sama lain. Pelbagai reaksi daripada mereka apabila mengetahui Dr Naim telah MIA. Pelbagai tuduhan liar seperti “dia ingat dia seorang sahaja yang stress” dan “takkan tak boleh kena tegur sikit, inilah houseman nowadays”. Itulah dia.

Aku kira, posting di jabatan psikatri semasa mereka pelajar kolej mahupun Universiti tak difahami oleh semua orang. Mana taknya, satu per satu stigma mereka beri walaupun tak tahu keadaan sebenar. Tak kira, doktor, jururawat, MA, bukan semua, tapi kebanyakkan.

Aku tiba di kuarters. Suram sahaja. Maklumlah keadaan bangunan yang agak uzur itu memang tertutup di sepanjang koridor. Hanya disinari lampu kalimantang bewarna putih..

Aku mengetuk bilik Dr Naim. Tidak berjawab. Aku memulas tombol pintu biliknya, terus terbuka.

Saat aku melangkah masuk, terus aku jadi lemah gemalai. Terus aku rasa peredaran bumi seakan-akan terhenti. Aku rasa nak pitam. Jantung aku seolah-olah terhenti. Aku rasa tak boleh bernafas. Air liur aku tersekat di kerongkong.

“Ya Allah, Naim!!!!” terpacul daripada mulut aku

Sekujur tubuh, di tengah-tengah bilik, tergantung dengan wayar kabel televisyen di kipas siling. Lehernya membengkok dalam posisi yang pelik. Kakinya tak jejak lantai, mengerekot. Tangannya di sisi. Kaku. Tidak bergerak.

Aku tergamam. Tak tahu nak buat apa. Saat ku lihat wajahnya, aku breakdown. Wajah cerianya, berkulit cerah, kini biru, membengkak. Lidahnya terjulur ke luar. Matanya terbeliak. Air liurnya mengalir keluar daripada sisi mulutnya. Aku terduduk.

Segalanya ibarat terhenti. Peluh dingin memercik di dahi dan seluruh badan aku. Lemah-gemalai. Ku capai telefon dan dalam keadaan terketar-ketar, aku hubungi hospital

Aku masih tergamam saat mayat Naim dibawa keluar di atas stretcher. Aku seperti nak menangis, nak menjerit. Aku nak orang lain merasa apa yang aku rasa pada waktu itu. Kupegang wajahku, dapat aku rasakan kesan air mata yang telah kering mengalir di pipiku.

Aku tak boleh gambarkan perasaan aku ketika itu. Perasaan aku, yang sememangnya menipis saat aku mula bertugas di hospital kini kian kosong seperti terkoyak oleh kehadiran kenangan-kenangan yang memilukan. Seluruh badanku terasa sakit. Ibarat seperti digigit-gigit. Lemah gemalai sampaikan nak berdiri pun tiada tenaga.

“Ang lain la weh, ang legend” aku teringat saat pertama kali berjumpa Dr Naim. Hanya kerana aku dapat menjawab soalan daripada pakar, tetapi dia tidak, terus dicopnya aku sebagai lagenda. Dari hari ke hari mulai saat itu, aku menjadi akrab. Segala masalah kami kongsikan.

“Cun tak dia weh? Tunang aku”

Bangga dia menunjuk aku gambar teman wanitanya, Anita. Gadis berkulit cerah itu, bermuka comel dan tersenyum di dalam gambar tersebut menampakkan lesung pipitnya. Sangat sesuai rupanya dengan wajah kacak Dr Naim.

Aku benci. Aku benci pemikiran aku yang berulang-ulang. Aku benci memori aku yang terlalu bagus sehinggakan setiap butir, setiap zarah, memori antara aku dan Naim tersemat dalam hati aku. Aku pilu, sebak dan hiba,

Itulah gambar terakhir Dr Naim dan Anita. Ibarat perhubungan sepasang kekasih yang ditakdirkan untuk berakhir dengan kecelakaan. Ibarat disumpah. Perhubugan yang berakhir dengan kesialan.

Saat diusung sekujur tubuh bertutup selimut putih di hadapan ku, aku hampir-hampir nak rebah. Aku sakit dada. Dr Farah memandangku dengan pandangan yang sungguh sebak. Sungguh memilukan. Aku lihat rakan-rakan lain yang bergelar houseman, dan medical officer serta beberapa doktor pakar juga turun.

Raut wajah mereka, kosong. Bersimpati. Bengkak-bengkak di mata akibat menangis. Kaget dan terketar-ketar. Terukir kerisauan apabila memikirkan, apakah ini nasib mereka kelak? Beginikah pengakhiran seorang doktor?

Seorang doktor yang menjaga pesakit bagai nak rak, dan apabila giliran mereka sakit, diabaikan sepenuhnya?. Seorang doktor yang berhempas pulas menjaga kebajikan pesakit, tidak langsung memberi peluang pesakit untuk merasai komplikasi penyakit, tetapi apabila gilirannya kena, tiada siapa peduli?

Dan apabila mereka sakit, mereka koyak mental, mereka yang salah? Mereka yang salah kerana terlalu lemah? Mereka yang salah kerana dianjing-anjingkan, dikecil-kecilkan di hadapan pesakit? Inikah takdirnya?

Seluruh hospital gempar. Gempar dengan kes bunuh diri seorang doktor muda. 25 tahun. Itulah masa yang Allah pinjamkan kepadanya. Aku lihat, pengarah hospital dan JKN turun. Aku lihat, ibu bapa Naim dan Anita tiba petang itu.

Hati aku ibarat ditusuk sembilu apabila saat ditunjukkan jenazah Dr Naim, ibunya pitam. Ayahnya pucat, tak berani memandang wajah anak sulung mereka. Terpaku di sudut bilik mayat. Aku lihat Anita seperti orang sasau. Menangis teresak-esak, menjerit-jerit macam orang hilang akal.

“Abang, jangan tinggalkan saya. Abang dah janji. Abang dah janji tak tinggalkan saya. Abang dah janji nak hidup sama-sama saya. Abang, bangunlah! Bangunlah”

Dipangkunya tubuh kaku itu. Di hentak-hentak badan arwah. Terdesak. Terdesak nak hidupkan semula mayat. Terdesak nakkan roh yang keluar untuk masuk balik ke dalam jasad. Walaupun dia tahu, tidak mungkin terjadi. Namun Anita sudah hilang akal. Hilang pertimbangan,

Saat keadaan tak terkawal, segera MO di sana menarik tangan Anita ke belakang. Disuruhnya bersabar. Disuruhnya tabah. Disuruhnya berdoa. Itu sajalah yang mampu dibuat. Manusia, selemah-lemah makhluk. Hamba.

Aku tak boleh lama berada di bilik mayat. Aku sakit. Segala-galanya dalam badanku sakit. Pedih. Perit. Hatiku terobek-robek. Memang orang kata tak baik berlebih-lebih kesedihan apabila perginya seorang manusia, namun mereka tak memahami apa yang aku rasa. Mereka tak memahami perasaan kehilangan seorang rakan dengan begitu cara. Seorang sahabat.

Ini semua salah aku. Salah aku yang tak memeperdulikan kawan aku. Salah aku yang nak marah-marah saat dia memerlukan aku. Salah aku yang terlalu mengikut perasaan. Memang aku cuba, namun tak mencuba sepenuhnya. Aku tak letakkan sepenuh tenaga dan usaha untuk menolongnya.

Benarlah orang kata, perginya seorang pesakit MDD adalah akibat daripada kata-kata orang lain. Akibat daripada persepsi dan stigma yang tak henti-henti. Semua warga kesihatan tau. Semua mempelajarinya, namun tak semua boleh memehami penyakit ini.

Aku kira, Dr Naim memang telah stress daripada hari pertama, posting pertama dia di hospital ini. Stress, depress dalam keadaan yang menekan-nekan. Melarat-larat. Stress dalam usaha nak membuktikan dia tidaklah sebodoh yang disangka, hanya kerana dia graduate daripada oversea.

Tidak banyak diperlukan untuk menghancurkan seseorang yang telahpun stress dengan kronik. Sedikit sahaja. Apabila picu ditarik, picu yang terakhir, mereka terus hancur. Itulah manusia dan itulah kekuatan mental satu makhluk yang digelar manusia.

Aku kadangkala nak tergelak apabila melihat doktor atasan membahan houseman lain saat mereka present. Caci maki yang mereka taburkan kadangkala menggelikan hatiku. Kadangkala dihadapan pesakit.

Aku gelakkan saat MO aku tak dapat menjawab soalan daripada doktor pakar dan dia dihamun dihadapan pesakit. Aku gelak saat HO lain yang dikira lembab diajing-anjingkan dihadapan pesakit.

Aku gelak saat sister memarahi jururawatnya di wad dihadapan semua staf, semua pesakit. Aku gelak saat clinical instructor (CI) memaki hamun jururawat pelatih. . Aku gelak. Ya, sebelum ini aku gelak.

Di luar, awan mendung mula berarakan. Pekat dan hitam. Hujan mula turun. Renyai-renyai sahaja, seolah-olah menangisi pemergian Dr Naim. Aku termenung di balik jendela wad.

Maafkan aku Naim. Maafkan aku.

———————————TAMAT————————————————–

Project cerpen bersiri terbaru saya bertajuk doktor depress ini diilhamkan oleh kisah benar yang pernah menggemparkan masyarakat beberapa tahun yang lepas, dan diceritakan kepada saya melalui pihak yang mengalaminya. Nama, lokasi, watak dalam cerpen ini ditukar sepenuhnya. Beberapa perkara, dialog juga diubah, dan ditambah bagi menjadikan plot dan gaya penceritaan lebih menarik.

Sila ambil pehatian. Cerpen bersiri ini bukanlah untuk menyalahkan sesiapa atau menuding jari kepada sesiapa. Cerpen ini hanya satu kisah yang saya kongsikan untuk memberi pengajaran dan iktibar kepada semua pembaca, serta memberi peluang untuk saya berlatih dan meningkatkan kemahiran untuk menjadikan saya seorang penulis yang lebih baik.

– ilzanno sharky via iiumc